|
|
|
Fasiliti
Aktiviti Maklumat Penyelidikan Galeri Foto Latihan Balai Cerap |
Selain daripada melakukan kerja-kerja pengambilan data untuk penyelidikan, Kumpulan Fizik Angkasa juga kerap mengadakan aktiviti cerapan umum yang melibatkan orang awam, pelajar universiti dan pelajar sekolah, memenuhi undangan mengadakan cerapan di sekolah-sekolah sekitar Lembah Kelang, Kolej-Kolej di Universiti Malaya, Jabatan Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan, Kem Sains & Matematik di Kem El-Azhar Morib, di Kem Sungkai Perak, LIMA 2005 serta cerapan di dalam Universiti Malaya untuk warga universiti sendiri. Tujuan mengadakan cerapan umum dan memenuhi undangan cerapan ialah untuk memberi pendedahan serta pemahaman awal kepada masyarakat dan pelajar-pelajar sekolah agar mereka semua celik astronomi, meminati dan mencintai bidang astronomi serta bakal menjadi calon angkasawan negara. Aktiviti Media Kumpulan Fizik Angkasa juga telah beberapa kali terlibat dengan aktiviti media seperti temuramah dengan akhbar Berita Harian, Harian Metro dan Utusan Malaysia dalam beberapa topik astronomi, terlibat dengan penggambaran “Riak-Riak Remaja” siaran RTM terbitan Penerbitan JAKIM, penggambaran “Benar Tapi Pelik” siaran RTM terbitan KRU Motion Pictures Sdn. Bhd., menjadi Ahli Panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam siaran RTM, sebagai pembicara jemputan dalam slot “Power Breakfast” siaran Cyberjaya TV, membicarakan tentang aktiviti matahari, dokumentari 'Galaxy' oleh KRU Production, Astrolab dan Ilmuan Islam oleh TV3 dan lain-lain lagi. Jadual Aktiviti
Aktiviti cerapan untuk pengambilan data penyelidikan dan juga data projek pelajar tahun akhir Jabatan Fizik dibuat sepanjang tahun semasa cuaca berkeadaan baik di Balai Cerap Fizik Angkasa, Jabatan Fizik (terletak bersebelahan dengan Akademi Pengajian Melayu). Aktiviti ini disertai oleh pelajar-pelajar yang mengambil projek tahun akhir, penyelidik dan kakitangan makmal. Segala kelengkapan peralatan yang diperlukan telah tersedia di dalam Balai Cerap dan selalunya kerja-kerja cerapan ini akan berlarutan hingga ke pagi. Kebiasaannya cerapan bermula jam 8 malam dan berakhir pukul 6.30 pagi.
Kumpulan Fizik Angkasa, Jabatan Fizik (KFA) bekerjasama dengan Agensi Angkasa Negara (AAN), Astronautics Sdn. Bhd (ATSB) dan Kementerian Pendidikan telah julung-julung kali menganjurkan Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket yang disertai oleh 49 buah sekolah menengah Wilayah Persekutuan dan Selangor pada 9 dan 10 Ogos 2003 yang bertempat di padang Varsiti, U.Malaya. Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar. Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket peringkat Kebangsaan telah diadakan pada tahun 2004 di tempat yang sama dan ia akan dijadikan sebagai acara tahunan. Pada 5 dan 6 September 2005 yang lalu, pertandingan ini juga telah diadakan di padang varsiti Universiti Malaya. Pemenang pada pertandingan ini mewakili Malaysia ke Jepun untuk menyertai pertandingan di sana. Untuk tahun 2006, pertandingan Teknologi Pelancaran Roket akan diadakan pada 5 hingga 7 September di tempat yang sama. Selain itu, KFA juga bekerjasama dengan Asiana Mac Sdn. Bhd untuk Nutrigen IQ3 WOW Campaign-Special Story for Berita Harian/Didik Workshop di Sekolah Kebangsaan Damansara Utama Petaling Jaya pada 11 Julai 2006.
CERAPAN KHUSUS Selain daripada melakukan kerja-kerja cerapan penyelidikan dan cerapan umum, Kumpulan Fizik Angkasa juga terlibat dengan aktiviti cerapan khusus berkaitan dengan gerhana bulan, gerhana matahari dan planet-planet. Kumpulan kami telah melakukan cerapan gerhana matahari annulus di Mersing pada 22/8/98. Kumpulan kami juga telah dijemput oleh Persatuan Astronomi German di Volklingen untuk melakukan cerapan gerhana penuh matahari pada 11/8/1999 di Jerman. Kami juga melakukan cerapan gerhana penuh bulan di Dataran Pusat Islam dan perkarangan Masjid Negara pada 16/7/2000 dan 9/1/2001 bersama JAKIM dan JUPEM. Kumpulan kami bersama BAKSA telah mengadakan cerapan planet Marikh paling hampir dengan bumi pada 27/8/03 di Planetarium Negara. Kumpulan kami juga mengadakan cerapan Planet Venus/Zuhrah transit pada 8hb Jun 2004 di tingkat 5 bangunan baru Jabatan Kimia, Universiti Malaya dan turut disertai oleh pencerap-pencerap dari JUPEM dan JAKIM. Kali terakhir fenomena Planet Venus transit ialah pada tahun 1882 iaitu 122 tahun yang lalu. Pada 29hb Mac 2006 pula beberapa orang Ahli Kumpulan Fizik Angkasa telah ke Antalya Turki untuk mengadakan cerapan dan kajian fenomena Gerhana Matahari Penuh. Pada tahun 2006, fenomena Gerhana Matahari Penuh hanya berlaku di Turki, Libya, Mesir dan sebahagian Afrika Utara.
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||